Wednesday, September 10, 2008

Hyperkosmik merentas sempadan

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

zhusni@bharian.com.my


KREATIF: Hyperkosmik memuatkan 10 idea kreatif The Fabulous Cats dan turut meraih perhatian peminat muzik Indonesia.

Kumpulan The Fabulous Cats yakin album terbarunya boleh diterima oleh pasaran muzik Indonesia

BESAR impian The Fabulous Cats untuk melihat album kedua mereka, Hyperkosmik merentas batas sempadan dan mencipta kejayaan di pasaran rantau Melayu.

Mungkin ada yang melihat itu hanya angan kosong anak tempatan apatah lagi penggemar muzik Indonesia begitu menjaga pasaran industri hiburan mereka.


Namun, semua itu bukan sesuatu yang mustahil kerana anak tempatan juga pernah meraih kejayaan, malah mencipta fenomena di Indonesia.

Atas alasan itu juga, The Fabulous Cats meletakkan harapan untuk menembusi pasaran negara itu. Keyakinan mereka berputik apabila menerima reaksi positif ketika beberapa lagu terbaru daripada Hyperkosmik diperdengarkan kepada peminat di sana.

“Kebetulan Adeep baru pulang dari Jakarta dan ada pihak menyuarakan keinginan mereka untuk memasarkan Hyperkosmik di negara itu.

“Mereka menyatakan hasrat itu kerana berpendapat muzik yang kami tampilkan bersesuaian dengan senario industri hiburan di Jakarta ketika ini,” kata Cat Farish ketika sesi pra dengar Hyperkosmik di Bangi, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai kecenderungan pencinta muzik Indonesia terhadap Hyperkosmik, Cat berkata, lagu berirama disko seperti Bawaku Terbang dan Pelan-Pelan Kayuh berjaya mencuri perhatian peminat luar.

Malah ketika The Fabulous Cats memperdengarkan kedua-dua lagu itu kepada rakan mereka di sana menerusi emel, beberapa pihak terus menyatakan minat untuk memuatkan ciptaan itu dalam album mereka.

“Kami perlu pantas mencari ruang jika mahu mencipta nama di sana. Siapa yang tidak mahu menembusi pasaran Indonesia, apatah lagi pasaran muzik hip hop di sana juga dicetuskan oleh anak tempatan iaitu Too Phat.

“Tiada yang mustahil dalam hidup ini dan apa yang penting, The Fabulous Cats perlu berani membawakan pembaharuan supaya irama ini tidak pupus kerana dibayangi populariti genre muzik lain,” katanya.

Akui Cat Farish, Malaysia mempunyai himpunan kumpulan hip hop berkualiti malangnya tidak banyak ruang diberikan untuk mereka mempamerkan kebolehan.

Disebabkan itu, katanya, The Fabulous Cats mengambil langkah berani dengan menyuntik elemen komersial dalam irama yang mereka perjuangkan.

Bagi Cat Farish, usaha itu terpaksa dilakukan untuk dijadikan jambatan membawa genre muzik berkenaan lebih dekat di hati penggemar hiburan negara ini.

“Lebih membuatkan kami risau jika irama ini tidak mempunyai pelapis. Jika situasi ini berlaku, ia adalah sesuatu yang malang kerana The Fabulous Cats menyimpan cita-cita besar supaya irama ini diterima umum sebagai mana khalayak pencinta muzik menerima irama lain,” katanya.

Akur mereka bukan sebuah kumpulan yang menyandar kepada kekuatan paras rupa, The Fabulous Cats bersyukur kerana kelebihan bakat yang mereka miliki menarik perhatian Metadome Sdn Bhd.

Di bawah pengurusan Metadome selama setahun, pengurusan karier seni The Fabulous Cats lebih teratur dan apa yang membuatkan mereka selesa, syarikat itu banyak membantu untuk memasarkan produk yang dihasilkan.

Tidak hanya tertumpu kepada pasaran album secara digital, Metadome juga merencana pemasaran Hyperkosmik menerusi medium digital seperti nada dering, muat turun lagu dan sebagainya.

Kerjasama itu juga akui Adeep, memudahkan mereka menyusun perjalanan karier kerana masing-masing memainkan peranan mereka untuk memajukan The Fabulous Cats.

“Harus diakui menjadi artis berkumpulan bukan sesuatu yang mudah kerana kita perlu memuaskan hati semua pihak. Namun, apa yang berlaku seperti pengunduran beberapa vokalis wanita membuatkan kami sedar perlu ada perjanjian rasmi.

“Alhamdulillah, bersama Metadome proses itu akan berjalan lebih lancar dan dari segi komitmen, rasanya tiada masalah kerana semua anggota meletakkan aktiviti The Fabulous Cats sebagai keutamaan,” katanya.

Barangkali nama Cat Farish lebih menyerlah berbanding anggota lain dalam The Fabulous Cats, namun semua itu bukan alasan untuk mereka bermasam muka.

Bagi Farhana, setiap anggota mempunyai keistimewaan sendiri dan kerana itu, apa juga permasalahan atau perselisihan antara mereka akan diselesaikan secara profesional.

“Setiap apa juga pekerjaan kami lakukan atas persetujuan bersama. Kami saling mengisi kekurangan anggota lain dan mungkin itu yang membantu untuk mempertahankan nama The Fabulous Cats dalam industri hiburan.

“Apa yang utama, setiap kami tahu peranan masing-masing dan untuk menjadi kumpulan berjaya, komunikasi itu penting untuk memastikan kami memahami bagaimana untuk bekerja antara satu sama lain,” katanya.