Saturday, August 30, 2008

Petikan dari Jomstar.com: FABULOUS CAT Tak Pernah Buat Hal

Kemunculan Fabulous Cat dalam industri pastinya sering dinanti-nantikan oleh anak muda masa kini. Apatah lagi genre muzik yang mereka bawa beserta mesej yang disampaikan dalam lagu sangat sesuai bagi setiap peringkat usia. Muzik Hip Hop yang cuba diketengahkan juga nyata tidak sia-sia bila nama mereka semakin dikenali dikalangan para peminat.

Namun begitu kumpulan ini ibarat mempunyai masalah dalaman apabila setiap kali mengadakan persembahan di khalayak ramai, vokalis wanita mereka sering bertukar ganti. Banyak desas desus timbul yang mengatakan tidak ada persefahaman antara mereka dan ketuanya Cat Farish dan ada juga yang mengatakan vokalis itu sendiri yang tidak boleh memberikan komitmen terhadap kumpulan ini.

Farhana adalah vokalis wanita yang ketiga setelah dua orang vokalis wanita mereka menarik diri disebabkan terikat dengan komitmen lain. Bagi Cat selaku ketua kumpulan, bukan sengaja mencari publisiti dengan masalah begini sebaliknya dia ingin mencari seseorang yang boleh memberi tumpuan dan sepenuh komitmen terhadap Fabulous Cat.

Baginya Farhana adalah pilihan yang tepat kerana sejak mula menyertai kumpulan ini Farhana dilihat begitu bersungguh-sungguh menunjukkan minat dan keseriusannya dalam mengembangkan muzik Fabulous Cat. Farhana juga turut terlibat dengan kumpulan indie lain iaitu Oddstar dimana Farhana juga menjadi vokalis bagi kumpulan ini.

Pun begitu, ia sedikit pun tidak mengganggu perjalanan seni Farhana dengan Fabulous Cat sebaliknya Farhana kini banyak menghabiskan sepenuh masanya terhadap kedua-dua kumpulan ini dan yang utama adalah Fabulous Cat.

Bagi Cat sendiri, dia memahami industri seni ada pasang surutnya dan tidak selamanya kumpulan ini akan lebat dengan show justeru dia memberi peluang pada setiap ahli untuk melakukan part time lain terpulang pada kebolehan masing-masing.

Seperti Cat, selain bersama kumpulan ini dia masih ligat menggubah lagu untuk artis lain dan turut aktif berlakon dan terbaru Cat berlakon sitkom berjudul Geletek yang bakal disiarkan di tv9. Adeep pula terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir untuk rancangan kartun walt disney yang disiarkan di Astro dengan menyumbangkan suara yang telah dialih bahasa selain turut menyanyikan lagu Chanteek yang menggandingkannya bersama kumpulan Ultimate.

DJ Sumo pula sibuk dengan aktiviti karnival remaja seperti rakan muda dan both remaja yang terdapat di gerai Jom Heboh. Mengekalkan sikap terbuka, Cat berharap kesibukan setiap ahli pada komitmen yang sedia ada tidak akan membuatkan kumpulan ini terbiar dan terus berkubur begitu sahaja.

"Saya tak pernah ada masalah atau buat hal dengan vokalis wanita yang dulu. Saya cuma mengharapkan mempunyai seorang vokalis wanita yang boleh memberikan keutamaan dan komitmen pada kumpulan ini meskipun mempunyai pekerjaan lain. Seperti Farhana sendiri dia juga mempunyai kumpulan lain. Namun dia masih mampu memberi komitmen pada kumpulan ini dan setakat ini Farhana tidak ada masalah dengan saya.

"Vokalis yang dulu bukan mereka tidak bagus dan saya tidak pernah menyalahkan mereka dengan pengunduran diri masing-masing, sebaliknya mereka sendiri yang minta untuk menarik diri dan ingin memberi tumpuan kepada perkara lain. Harapan saya biarlah vokalis kali ini akan bertahan dengan Fabuluos Cat sampai bila-bila kerana saya lihat Farhana mampu pergi jauh dalam bidang ini ditambah dengan kesungguhan yang ditunjukkannya saya yakin Insya-Allah," kata Cat.

Terbaru Fabuluos Cat sedang sibuk dengan pembikinan album kedua mereka yang dijangka siap pada bulan Mac ini dan konsep mereka masih tetap sama seperti album pertama.

Mereka juga dalam perancangan untuk menghasilkan produk barangan sendiri dengan menggunakan perkataan 'Lenggok' yang menunjukkan muzik Hip Hop sinonim dengan tarian Lenggok dan perkataan ini juga bersesuaian dengan cita rasa orang Melayu. Antara produk barangan mereka seperti T-Shirt, topi dan pelbagai lagi aksesori lain bakal dipakai dan diperkenalkan oleh Fabuluos Cat dalam rangka mempromosikan album kedua mereka nanti.

1 comment:

erin said...

team korang ok r...ak suke team korang..bye...good luck..