Wednesday, August 6, 2008

Fabulous Cats masih lagi terasing - Petikan dari utusan.com.my


Fabulous Cats masih lagi terasing


Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN


Fabulous Cats


MESKIPUN lagu Papa Jahat berjaya menarik minat masyarakat, namun ia masih belum cukup untuk membantu menonjolkan siapa Fabulous Cats yang sebenar.
Dianggotai oleh Cat Farish, Dj Sumo, Adeep dan Farhana, tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ramai yang benar-benar mengenali wajah ahli anggotanya selain ketua kumpulannya, Cat Farish.
Senario tersebut berlaku mungkin kerana baru setahun jagung penubuhan kumpulan tersebut mereka sudah pun beberapa kali menukar anggotanya.
Berbicara tentang persoalan itu, jelas Cat, perkara itu berlaku kerana dia tidak biasa bekerja dengan wanita, selain kesemua anggota itu mempunyai pelbagai komitmen.
Namun begitu, semua itu kini sudah dpaat diatasi.


Menyambung perbualan, bekas anggota kumpulan Ruffedge ini berkata, adalah mustahil untuk sesebuah kumpulan berdiri teguh tanpa sebarang perbalahan.


“Perkara yang paling ketara berlaku dalam sebuah kumpulan artis ialah menyatukan idea semua anggota. Kerana itu, ia akan menyebabkan masalah sering tercetus.


“Sebagai contoh Ruffedge dulu pun bertukar-tukar ahli. Jadi, bagi saya pertukaran ahli bukan satu isu. Insya-Allah anggota-anggota Fabulous Cats yang ada kini mungkin tidak akan bertukar lagi,” janji Cat pada majlis pradengar album kedua mereka berjudul Hyperkosmik di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.


Tambah Cat, pengalaman lalu banyak mengajarnya erti kematangan dan pengalaman terbaik sebagai panduan untuk mengendalikan kumpulan barunya ini.


Menyedari akan kurangnya promosi antara penyebab nama dan album terdahulu mereka kurang dikenali, kini Fabulous Cats mengambil jalan terbaik dengan menyertai syarikat Metadome Sdn. Bhd. selama setahun.


“Dulu rasanya ramai tidak tahu pun kami dah ada album jadi untuk album terbaru ini saya rasa kami perlu lakukan lakukan sesuatu untuk memastikannya berjalan dengan lancar.


“Setelah berfikir beberapa kali rasanya dengan menyertai Metadome segala perjalanan karier kami akan lebih tersusun dan teratur,” katanya yang bertindak selaku penerbit sambil dibantu oleh Adeep untuk album tersebut.


Hyperkosmik menampilkan sepuluh buah lagu antaranya Ole-Ole, Lepas, Slot Akasia dan Pelan-Pelan Kayuh.

No comments: